14 Juli 2008

[ac-i] PESTA PENYAIR-KEDIRI di UTUSAN MALAYSIA ( online ) hari ini

Utusan Online

  
 
14 Julai 2008 / 11 Rejab 1429
  
SASTERA

Kuala Lumpur tuan rumah PPN 2009

TAHUN ini, Kediri, Jawa Timur, Indonesia menjadi tuan rumah kepada Pesta Penyair Nusantara (PPN) 2008 - sebuah wadah perhimpunan dan pertemuan para penyair dari Nusantara dan negara Asia lainnya.

 

Setelah kejayaan Pesta Penyair Nusantara di Medan, yang diberi nama The First Medan International Poetry Gathering pada 25-29 Mei 2007, PPN kedua dilaksanakan di bandar tersebut pada 29 Jun-3 Julai lalu.

 

Pada PPN di Medan tersebut, jawatankuasa pelaksana dibarisi oleh Ahmadun Yosi Herfanda, Korrie Layun Rampan, Fakhrunas MA Jabbar, Viddy Daery, Afrion dari Indonesia, Zefri Arif (Brunei Darussalam) dan S.M. Zakir (Malaysia).

 

Jawatankuasa Pelaksana PPN 2008 pula diketuai oleh Khoirul Anwar (Indonesia) yang ternyata telah melakukan usaha yang sebaik mungkin untuk menjayakan program berprestij tersebut.

 

PPN 2008 sebenarnya mempunyai erti yang cukup besar dalam aspek kesepakatan untuk menghidupkan kegiatan sastera di Nusantara. Ini kerana pada tahun depan Kuala Lumpur telah dipilih sebagai tuan rumah.

 

Perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarah Penyair Nusantara yang diadakan di Universiti Islam Kediri (Unik) dengan menjadikan Pena sebagai pelaksana dan sekretariat khas penganjuran PPN 2009.

 

Lebih menarik, Setiausaha Agung Persatuan Penulis nasional (Pena), S.M Zakir telah dipersetujui sebulat suara oleh delegasi PPN 2008 sebagai ketua jawatankuasa pelaksana PPN 2009.

 

Pada 2010, PPN akan 'kembali' ke Indonesia dengan Balikpapan, Kalimantan Timur menjadi tuan rumah dan akan bertanggungjawab meyelenggara serta menyusun pelbagai program PPN.

 

Sementara itu pada PPN 2008, Pena diwakili oleh S.M Zakir dan tiga orang ahli jawatankuasa kerjanya; Mohamad Saleeh Rahamad, Shamsudin Othman dan Dr. Ibrahim Ghaffar.

 

Turut menyertai delegasi Pena ialah Malim Ghozali Pk, Khalid Salleh, Fuad Bebet dan Hameer Habib manakala penyair Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) turut menjadi tetamu kehormat pesta tersebut.

 

Selain dari Malaysia, para peserta PPN 2008 juga berasal seluruh Indonesia seperti Kediri, Madiun, Ngawi, Nganjuk, Pare, Blitar, Lamongan, Bojonegoro, Mojokerto, Malang, Probolinggo, Surabaya, Madura, Semarang, Ungaran, Tegal, Banyumas, Solo, Yogyakarta, Jakarta, Bandung, Bogor, Depok, Sumbawa, Flores, Balikpapan, Samarinda, Banjarmasin, Banjarbaru, Siak, Lampung, Pekanbaru, dan Makassar.

 

Program PPN 2008 sebenarnya telah bermula sejak 25 Jun dengan Pertandingan Membaca Puisi di Sanggar Mulang Sara di Kampung Cakarwesi yang merupakan sebuah kawasan pengajian pesantren (sekolah pondok) yang banyak melahirkan tokoh-tokoh agama dan budayawan Kediri.

 

Pertandingan tersebut disertai oleh 95 orang peserta dari seluruh Indonesia. Majlis perasmian PPN 2008 kemudiannya diadakan pada 30 Jun yang menyaksikan perasmian yang gilang-gemilang yang dihadiri oleh segenap lapisan masyarakat Kediri.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Walikota, Maschut. Acara diteruskan dengan deklamasi puisi yang diselingi dengan persembahan kebudayaan tradisional masyarakat Kediri.

 

Turut hadir dalam acara perasmian ini ialah Rektor Universiti Islam Kediri, pimpinan pesantren di seluruh daerah tersebut dan pegawai-pegawai daerah. Majlis turut menampilkan Kiyai Zawawi Imron, yang juga penyair ternama Indonesia untuk menyampaikan syarahan budaya yang cukup memukau.

 

Pemilihan Kediri sebagai tuan rumah PPN 2008 cukup beralasan. Ia sesungguhnya sinonim dengan bandar yang menjadi wadah pertumbuhan kebudayaan, ekonomi, keagamaan dan pentadbiran.

 

Berdasarkan catatan sejarah, Kediri merupakan kerajaan tua yang wujud pada tahun 1045 apabila diasaskan oleh salah seorang raja Jawa yang terkenal, Airlangga.

 

Kediri mempunyai hubungan dengan kerajaan Sriwijaya di Jawa dan menjadi negeri penampan bagi empayar Sriwijaya di Pulau Jawa. Kerajaan itu sendiri merupakan sebuah kerajaan yang kuat di Pulau Jawa di bawah dinasti Airlangga sehinggalah raja terakhirnya ditewaskan oleh Ken Arok yang kemudiannya mendirikan kerajaan Singosari pada tahun 1222.

Kerajaan Singosari inilah yang memunculkan kerajaan besar di Pulau Jawa iaitu empayar Majapahit pada tahun 1293.

 

Sepanjang zaman kegemilangannya, Kediri terkenal sebagai kota budaya dan banyak melahirkan karya-karya agung klasik antaranya Kekawin Bharatayuddha yang disesuaikan daripada kisah Pandawa dalam Mahabratha, Gatotkaca, Smaradahana, Babad Kedhiri,Panji Semirang dan sebagainya.

 

Pada abad ke-16, Kediri menjadi pusat perkembangan Islam di Jawa Timur setelah kerajaan Hindu Majapahit Kediri dikalahkan oleh Sunan Kudus, salah seorang wali sembilan yang mengislamkan Pulau Jawa. Sehingga ke hari ini Kediri terkenal sebagai pusat pesantren dan pengajian Islam.

 

Kota Kediri yang juga dijoloki dengan nama Kota Tahu dan Kota Gudang Garam sememangnya terkenal sebagai pengeluar makanan berasaskan soya tersebut. Dalam pada itu, Kediri juga adalah pusat pengeluaran rokok gudang garam surya yang terbesar di dunia.

 

Antara pengisian PPN 2008 ialah seminar kesusasteraan pada 1 dan 2 Julai bertempat di kampus Unik yang terletak di lembah Gunung Klothok. Di sinilah wujudnya Gua Selomangleng yang tercatat dalam Hikayat Panji Semirang dan Hikayat Babad Kadhiri.

 

Seminar ini menampilkan pembentang-pembentang kertas kerja dari Indonesia seperti Ahmadun Yosi Herfanda, Diah Hadaning, Dinullah Rayes, Korrie Layun Rampan, Endang W, Khoril Anwar, Viddy AD Daery dan Shantinet.

Pembentang kertas kerja dari Malaysia pula ialah , Kemala, S.M. Zakir, Mohamad Saleeh Rahamad, Shamsudin Othman dan Dr. Ibrahim Ghaffar.

 

Pada malamnya diadakan acara baca puisi yang dirakamkan di Studio Doho yang disiarkan dalam satu rancangan talk show televisyen Indonesia. Kemuncak acara adalah Mesyuarah Penyair Nusantara yang diadakan di Unik yang antara lain memutuskan kesanggupan Pena untuk mengambil alih tugas penganjuran PPN 2009 di Kuala Lumpur.

 

Sementara itu, S.M. Zakir dalam ucapan penangguhan pada majlis penutupan pesta tersebut di Sanggar Mulang Sara menegaskan PPN dapat mengeratkan semangat setiakawan budayawan nusantara khususnya Malaysia dan Indonesia yang berusaha mengeratkan silaturahim yang selama ini dijarakkan oleh peranan negatif media melalui perjuangan sastera dan budaya.

 

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa kesediaan Pena untuk menganjurkan PPN 2009 di Malaysia adalah usaha membentuk kesinambungan sastera melalui gerakan generasi pelapis yang kini memikul tanggungjawab untuk mengimarahkan dunia sastera Melayu dan Nusantara yang mendunia sifatnya.


__._,_.___

blog: http://artculture-indonesia.blogspot.com

-----------------------
Art & Culture Indonesia (ACI) peduli pada pengembangan seni budaya Nusantara warisan nenek moyang kita. Warna-warni dan keragaman seni budaya Indonesia adalah anugerah terindah yang kita miliki. Upaya menyeragamkan dan memonopoli kiprah seni budaya Indonesia dalam satu pemahaman harus kita tentang mati-matian hingga titik darah penghabisan.




Your email settings: Individual Email|Traditional
Change settings via the Web (Yahoo! ID required)
Change settings via email: Switch delivery to Daily Digest | Switch to Fully Featured
Visit Your Group | Yahoo! Groups Terms of Use | Unsubscribe

__,_._,___

Sphere: Related Content

Tidak ada komentar: